KES-KES RENTAS NEGERI TIDAK BERPUNCA DARI AKTIVITI PELANCONGAN
Wisma MAH, Ampang (22 Mac 2021) - Menurut laporan terkini harian Kementerian Kesihatan Malaysia, sejak 7 Disember 2020 sehingga 21 Mac, sejumlah 5,038 kes telah dikaitkan dengan kluster-kluster rentas negeri atau lebih kurang 1.5% kes keseluruhan, antaranya seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan semalam bahawa kerajaan telah mengesan 3,170 kes akibat kegiatan rentas negeri sejak 1 Januari. Jumlah ini juga bersamaan 0.95% dari jumlah kes keseluruhan negara.
Walaupun jumlah ini kelihatan tinggi tetapi antara jumlah besar ini adalah kluster Tembok Mempaga di Pahang dengan 808 kes, kluster Pasai di Sarawak dengan 2,693 kes dan kluster Tembok Bukit Besi di Terengganu dengan 443 kes. Kluster Tembok Mempaga melibatkan pindaan seorang tahanan baharu ke Penjara Bentong, kluster Pasai melibatkan individu yang tidak mengikuti arahan kuarantin di Rumah Panjang Langi manakala kluster Tembok Bukit Besi pula melibatkan Pusat Koreksional Dungun. Ketiga-tiga kluster ini sahaja adalah sebanyak 3,944 kes.
Jelas kelihatan penularan kes-kes Covid-19 yang tinggi yang melibatkan aktiviti rentas negeri tidak berpunca dari pergerakkan pelancongan domestik di mana keadaan yang sama juga terkawal semasa Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan dilaksanakan pada bulan Jun sehingga September 2020. Industri pelancongan terutamanya perhotelan telah mematuhi semua SOP yang ditentukan oleh Kerajaan dan MKN, dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) juga telah memperkenalkan persijilan kebersihan dan kesihatan “Clean & Safe Malaysia” untuk sektor penginapan, satu-satunya yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Industri berharap Kerajaan dan MKN akan membenarkan pergerakkan rentas negeri secara bersasar dan terkawal, MAH juga telah mengemukakan cadangan SOP tambahan kepada MOTAC dengan mekanisma pergerakkan yang diselaraskan antara masa daftar masuk hotel dengan aplikasi MySejahtera sama ada melalui kenderaan persendirian ataupun penerbangan. Penginapan hotel telah terbukti selamat selama ini dan boleh dijadikan keperluan wajib untuk pergerakkan rentas negeri.
Tambahan lagi, Kerajaan juga boleh memberi kebenaran rentas negeri kepada individu-individu yang menghadiri aktiviti MICE, mesyuarat, konvensyen atau pameran dengan pendaftaran awal dan tempahan bilik hotel. Saringan Covid-19 juga boleh dijadikan keperluan untuk mendapatkan kebenaran rentas negeri.
Industri pelancongan adalah antara yang paling terkesan dan amat memerlukan ruang untuk menjana pendapatan untuk menjaga kelangsungan industri dan 3.6 juta orang yang bekerja dalam industri ini. Pasaran domestik adalah satu-satunya harapan industri untuk bertahan sehingga pelancongan antarabangsa pulih, yang dijangka akan memakan masa yang lebih lama. UNWTO dan McKinsey baru-baru ini juga membuat anggaran pemulihan pelancongan hanya pada tahun 2024.