KUALA LUMPUR, Januari 26, 2018 – Persatuan Hotel Malaysia (MAH), seiring
dengan pendirian Kementerian Sumber Manusia (MOHR), hari ini menjelaskan salah
tanggapan orang ramai terhadap isu "larangan bertudung" yang telah
menjadi tular di seluruh negara susulan dari artikel-artikel yang dibangkitkan
oleh media massa sekarang ini.
Di
dalam mesyuarat yang telah diadakan di antara MAH bersama MOHR dan Jabatan
Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada 17 Januari 2018, persefahaman telah
dicapai berkenaan isu salah tanggapan terhadap larangan bertudung di sektor
perhotelan.
Sebagaimana
yang telah dijelaskan di dalam mesyuarat tersebut serta kenyataan-kenyataan
yang dikeluarkan sebelum ini kepada media, MAH bukan merupakan badan yang
mengawal selia, malah tidak mempunyai kuasa dalam menentukan etika atau kod
pemakaian pekerja-pekerja hotel di Malaysia.
Ini
kerana piawaian pakaian seragam bagi hotel-hotel ditentukan oleh pihak
pengurusan hotel itu sendiri, yang mana setiap satu pengurusan hotel mungkin
mempunyai polisi dan kod pemakaian yang berbeza, bergantung kepada keperluan
perniagaan masing-masing. Malah, sebilangan besar hotel-hotel di Malaysia telah
pun mengamalkan pemakaian tudung di kalangan pekerja.
Ini
termasuklah pemakaian tudung di dalam sektor penyediaan makanan dan pengurusan
bilik yang memerlukan pekerja-pekerja sentiasa kemas bagi memastikan kawasan
tempat kerja adalah bersih dan teratur serta keselamatan di kalangan pekerja
terjaga. Oleh itu, tidak timbul isu larangan pemakaian tudung di dalam sektor
perhotelan ataupun unsur-unsur diskriminasi terhadap pekerja hotel sebagaimana
yang digembar-gemburkan di media massa.
Kami
juga telah dimaklumkan melalui kenyataan media oleh MOHR pada 12 Januari 2018,
13 daripada 74 hotel yang diperiksa mengamalkan polisi larangan bertudung
semasa bekerja di bahagian tertentu. Untuk
maksud ini, MAH sentiasa bersedia dan akan bekerjasama dengan pihak kerajaan
melalui Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan polisi larangan pekerja
wanita bertudung tidak diamalkan dan membuat pindaan kepada SOP
sekiranya perlu bagi setiap hotel ahli MAH.
MAH berharap agar kenyataan-kenyataan di atas dapat memperjelaskan
isu yang sedang diketengahkan demi kesejahteraan industri. MAH merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia atas usaha Kementerian
menangani isu pemakaian tudung di dalam sektor perhotelan, sebagai salah satu
usaha murni yang berterusan demi memelihara keharmonian industri di tempat
kerja.
Diharapkan
semua pihak dapat bekerjasama sebaik mungkin untuk persekitaran ekonomi dan
perniagaan yang kondusif bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor
perhotelan dan pelancongan yang merupakan salah satu sumbangan pertukaran asing
terbesar kepada negara.